Semua mengidamkan bidadari. Lelaki.
Semua ingin menjadi bidadari. Perempuan.
Jadi saya lebih fokuskan kepada yang kedua. Walaupun saya sedar saya adalah seorang lelaki. Tetapi izinkan saya menulis perkara ini. Mungkin seronok juga jika saudari-saudari saya mendengar pandangan yang berlawanan jenis dengannya bukan? Saya nampak anda tersenyum di situ.
Bidadari Dunia. Saya menulisnya kerana saya percaya, perempuan adalah antara makhluk yang penting di dalam dunia. Islam, nyata mengangkat wanita ke satu darjat yang tinggi. Justeru pada saya, perempuan-perempuan yang tunduk kepada Allah SWT, mentaatiNya, menjauhi laranganNya, itulah dia bidadari-bidadari dunia. Ya, mereka bidadari, tetapi mereka adalah manusia.
Persoalan, bagaimana mahu menjadi bidadari ini?
Itulah yang akan dikupas oleh saya di dalam Bidadari Dunia.
Dari kaca mata sayalah, seorang lelaki.
Perempuan, mengalahkan syurga.
Syurga. Kita tahu syurga ini amat indah, tidak terjangkau dek pandangan akal, tidak pernah langsung terdengar dek telinga, apatah lagi pernah dilihat dek mata. Ada segala-galanya, memenuhi segenap kesenangan yang dicita.
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;” Surah Ali Imran ayat 133.
Tetapi, nak kata perempuan ini mahalnya lebih daripada syurga adalah, Nabi Adam AS yang hidup di dalam syurga itu, yang penuh kenikmatan itu, boleh pula merasa sunyi dan kekurangan. Ya, di situlah mahalnya perempuan. Hatta syurga pun dikalahkan.
Maka untuk Adam diciptakan Hawa. Sedang Syurga juga tidak dapat memenuhi fitrah seorang lelaki.
Sebab itu, perempuan sentiasa mahal di dalam jiwa saya. Apatah lagi, Islam memang nyata mengangkat perempuan di dalam Islam. Disuruhnya lelaki menjaga perempuan, mengetuai mereka, memenuhi hak-hak mereka, dan melayan mereka dengan baik serta mulia. Sedang dalam zaman Parsi, Romawi, perempuan dilayan seperti hamba, kotor, sampah, dan sebagainya.
Nah, perempuan itu tinggi sebenarnya.
Maka Amatlah Rugi Jika Yang Mahal Itu Menjadi Murah
Maka, pada saya, amatlah rugi sekiranya yang mahal menewaskan syurga itu, menjadi murah dan rendah hanya kerana tidak menjaga diri dan melanggar perintahNya.
Di sinilah saya mengajak para bidadari sekalian bermuhasabah semula.
Diri kalian sebenarnya mulia bukan?
Maka bagaimanakah kemuliaan itu dijaga?
Siapakah contoh-contoh yang sepatutnya kalian ini ambil untuk kekal mulia?
Peraturan manakah yang anda perlu ikuti dan turuti agar kemuliaan anda ini kekal selama-lama?
Di sinilah Bidadari Dunia muncul untuk membawa anda sama-sama meneroka perkara ini semua.
Sebab perempuan pada saya adalah ibu kepada manusia. Hatta lelaki lahir daripada rahimnya juga. Bayangkan!
Maka dari perut perempuanlah lahirnya pemimpin, panglima perang, cerdik pandai, saintis dan sebagainya. Tetapi jangan dilupa, daripada perut perempuan jugalah lahirnya pembunuh, perogol, pencuri dan sebagainya.
Justeru, saya berpendapat bahawa, sekiranya perempuan itu adalah seorang bidadari dunia, kemungkinan untuk melahirkan zuriat yang baik adalah lebih tinggi. Tanpa saya menafikan juga, dari perut perempuan mana pun, boleh sahaja lahir seorang pemimpin yang mulia kerana kemuliaan bukanlah sesuatu yang diwarisi. Tetapi kita juga tahu, peratusnya amat kecil. Dan kita ini diajar menjemput natijah dengan asbab. Tidak begitu?
Sebab itu jika anda, wahai bidadari-bidadari dunia yang saya kasihi, perasan, lihatlah perancangan barat yang cuba menelanjangkan perempuan-perempuan, dan mengeluarkan mereka dari rumah ke arah kebahayaan, kemudian mewarnainya dengan nama kebebasan, ketinggian dan kesama rataan. Untuk apa? Bukankah untuk merosakkan generasi yang bakal lahir dari perut kalian?
Bidadari Dunia, mustahil?
Mana mungkin perempuan di dunia boleh menjadi bidadari!
Mungkin itulah yang terdetik di dalam diri anda. Mungkin.
Saya tidak rasa demikian. Kerana saya pernah melihat bidadari di atas dunia. Dan saya tahu, sebelum saya lahir, wujud ramai bidadari yang telah berjalan di atas muka bumi ini.
Antaranya adalah bonda kita, Khadijah RH, Aisyah RH, Hafsah RH dan semua isteri Rasulullah SAW, sahibah-sahibah baginda seperti Nusaibah RH, Ummu Sulaim RH, juga figur-figur terdahulu seperti Maryam binti Imran, Asiah isteri Firaun, dan tidak terkecuali manusia-manusia indah seperti Ibu kepada Muhammad Al-Fateh, Zainab Al-Ghazalidan sebagainya.
Ya. Mereka adalah bidadari yang pernah berjalan di atas muka bumi.
Mereka juga manusia. Seperti kalian juga.
Maka di mana mustahilnya?
“Kami bukan mereka!”
Saya tertawa. Tidak. Jangan sesekali sangka begitu. Bukan kerana ‘anda bukan mereka’ sebenarnya. Tetapi hanya kerana ‘anda tidak menjalani proses seperti yang mereka lalui’.
Nah, itulah dia Bidadari Dunia akan bawakan. Bagaimana hendak melalui proses yang sama seperti mereka. Kalau masuk kilang batik, takkan keluar jadi kain songket kan? Kalau main batu seremban, takkan sama dengan main bola jaring kan? Begitulah.
Saya yakin kalau kalian buat apa yang mereka buat, percaya apa yang mereka percaya, insyaAllah kalian akan mampu menjadi seperti mereka. Jadi antara pengisian Bidadari Dunia adalah menceritakan perihal mereka sebagai ibrah buat saya dan anda juga.
Penutup: Simpanlah cita-cita. Jadilah Bidadari Dunia.
Maka bercita-citalah dari sekarang wahai wanita-wanita yang ingin menjadi mulia. Simpanlah azam dan sematkanlah tekad. Saya akan berusaha yang terbaik untuk menyampaikan.
Harapan saya adalah, Bidadari Dunia ini mampu menimbulkan kesedaran, sekaligus mengubah kehidupan, dan akhrinya membuatkan kalian mampu menjadi tiang-tiang yang menopang ummah ini ke arah kebaikan. Melahirkan anak-anak dan mendidik mereka dengan kebaikan. Menjadi isteri dan memperkuatkan suami ke arah mencari redha Ar-Rahman. Menjadi kakak yang membawa adik-adik ke arah kemuliaan. Menjadi bidadari dunia, yang mampu menyerikan dan mengindahkan alam yang fana ini, membawanya ke arah apa yang diredhaiNya.
Inilah dia mukaddimah.
Semoga Allah redha kepada kita, dalam kasih dan sayangNya.
Mari, Menjadi Hamba!
© Langitilahi.com
Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan bahan-bahan yang terdapat di sini, namun alamat langitilahi.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa kebenaran pihak langitilahi.com terlebih dahulu
Mari Menjadi Hamba Aallh..
p/s: malangnya ramai sangat perempuan yg murah sekarang ni.. =.=
Tiada ulasan:
Catat Ulasan